Demo Site

15 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU 2009

SAJAK: GURU OH GURU

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Kami mengucapkn Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia. Guru Pembina Negara Bangsa.

14 Mei 2009

SETIAP ANAK PERMATA NEGARA

PENGENALAN:-

Kajian menunjukkan yang perkembangan otak manusia berlaku paling cepat semasa awal tahun pertama hingga tahun ke lima dalam kehidupan mereka.

Atas dasar ini, keistimewaan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA ialah, ia merupakan satu program yang menekankan program pembelajaran yang holistik dan berbeza dari corak pembelajaran sedia ada. Diadaptasi dari konsep ‘learning is fun through play’ dari Pen Green Centre, Corby, England, anak-anak PERMATA ditekankan untuk belajar melalui eksperimentasi, eksplorasi dan pengalaman di Pusat Anak PERMATA Negara.

Kurikulum Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) disesuaikan mengikut acuan dan keperluan kanak-kanak di negara ini walaupun konsep asalnya berpandukan amalan pusat asuhan di luar negara; dengan memberi penekanan kepada modul pendidikan yang sesuai dengan perkembangan minda kanak-kanak Malaysia.

PERMATA mengamalkan konsep asuhan dan didikan yang bersepadu merangkumi aspek pemakanan, kesihatan, penglibatan ibu bapa dan komuniti

Ini adalah bersesuaian untuk membentuk personaliti anak yang seimbang, yakin diri,. bijak bergaul dan ini juga adalah penting untuk pembangunan modal insan yang cemerlang, sekaligus mengelakkan anak-anak dari terjebak ke dalam kancah gejala sosial apabila mereka dewasa.

Falsafah, Fokus dan Rasional kami:-


Bagi kami, pendekatan yang menekankan konsep setiap anak adalah individu yang berbeza.

Oleh itu, kami berpegang pada falsafah bahawa:-
• Setiap anak permata negara
• Setiap anak amat berharga
• Setiap anak adalah modal insan Negara.
• Pendidikan awal kanak-kanak penting dalam perkembangan intelek, emosi
, kognitif dan komunikasi mereka.

Oleh itu melalui falsafah ini kami berusaha untuk mencapai objektif PERMATA bagi menghasilkan modal insan Negara yang cemerlang, gemilang, terbilang dalam menuju wawasan sebagai Negara maju di masa hadapan.

Dalam usaha merealisasikan objektif program PERMATA, kami memfokuskan pada kumpulan sasaran atau segmen tertentu dimana kumpulan sasaran PERMATA ialah kanak-kanak berumur antara 1 hingga 4 tahun dengan tumpuan di kawasan bandar dan luar bandar.

Ini dikira rasional berdasarkan bukti dari kajian neurosains yang menunjukkan bahawa 3 tahun pertama adalah amat penting dalam perkembangan otak kanak-kanak.

Hubungan emosi dan sosial yang dibina dengan mereka memainkan peranan penting ke arah pembentukan personaliti mereka yang tenang, aman dan penyayang.

Maka sekiranya rangsangan yang betul diberikan dalam keadaan ceria dan gembira, otak akan berkembang segar.

Oleh itu, kurikulum PERMATA digubal berbeza dari kurikulum asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang ada di Negara ini.

KURIKULUM?:-


Kurikulum PERMATA berbeza kerana ianya member penekanan kepada pembangunan kanak-kanak secara holistik dalam aspek kemahiran kognitif, sosio-emosi, komunikasi dan fizikal. Antara ciri-ciri penting dalam kurikulum PERMATA:-
Teknik pembelajaran PERMATA ialah dengan merangsang minda kanak-kanak dengan kaedah meneroka, mencuba dan mengalami melalui aktiviti permainan. Kaedah ini mewujudkan persekitaran yang sesuai dan menyeronokkan bagi kanak-kanak melalui teknik-teknik berikut:-
- Kasih sayang dan belaian
- Interaksi dan komunikasi
- Pemikiran dan bacaan
- Memberi kuasa kepada kanak-kanak melalui pembelajaran secara bebas
- Mendorong kebolehan dan potensi kanak-kanak
- Belajar melalui bermain
- Menghayati muzik dan seni, nyanyian dan pantun, tarian dan lakonan

Atas dasar ini, teknik pembelajaran PERMATA digubal dengan mengambil kira aspek-aspek seperti:-
- Pembinaan Hubungan Emosi, Kasih Sayang, Rasa Selamat dan Yakin Diri
* Melalui sentuhan dan belaian
* Melalui berkawan dan sosial
- Belajar Melalui Percubaan dan Penerokaan
- Membina minat membaca dan berfikir sejak awal
- Merangsang kemahiran matematik dan pemikiran secara logic

SOURCE

TASKA PERMATA KEMAS

TASKA PERMATA KEMAS
Kampung Semerah Padi Fasa 1
93050 Kuching Sarawak

Selamat datang kami ucapkan kepada anda yang sudi meluangkan masa untuk melayari blog kami. Tujuan blog ini dimajukan adalah bagi memberi info kepada orang ramai tentang kami dan aktiviti yang kami lakukan sepanjang tahun.

Diharapkan dengan adanya blog ini, ibubapa kanak-kanak TASKA KEMAS dapat memantau dan mengetahui serba sedikit aktiviti yang anak-anak mereka lakukan semasa berada di taska.

Lagu Kemas

Kemajuan Masyarakat
Itulah Teras Utama Kita
Membela Bangsa Membangun Negara
Agar Maju dan Jaya

Berinisiatif, Berdikari
Membentuk Jiwa Hati Nubari
Bersih, Cekap, Amanah Diri
Semoga Hidup Bererti
Ayuh Bangsaku Bangunlah Bersama
Tampilkan Diri Ke Muka
Turuti Segala Rancangan Kita
Dengan Azam Semangat Waja

Pelbagai Usaha Dilaksana
KEMAS Wujud di Merata-rata
Menggerak, Mendorong, Masyarakat Kita
Mencapai Hidup Sejahtera

Hubungi Kami

TASKA PERMATA KEMAS
Kg Semerah Padi Fasa 1
Jln Tan Sri Abg Ikhwan
93050 Kuching Sarawak
Tel: 0198660614

Followers